Jantung bagai terhenti bila tahu bayi itu bukan anak saya � Siti Suriani

Kumara Sabapatty
194957954_4272810549424441_1414147313440201169_n-e1623576639808
Siti Suriani (dua dari kanan) bersama suaminya, Muhammad Khairulazman dan pasangan yang dipercayai tertukar bayinya.- Gambar FB Jamumall.com.

KUALA LUMPUR � Wanita yang tertukar bayi mereka dengan pasangan lain di sebuah hospital swasta di Shah Alam semalam menceritakan detik cemasnya.

Siti Suriani Wahiddin, 23, mengakui fikirannya berkecamuk akibat kerisauan yang melanda hati seorang ibu apabila mendapat tahu bayi yang dibawa pulang bukan darah dagingnya.

�Semasa kejadian saya cemas dan selepas dapat tahu bayi tertukar, saya terdiam dan denyutan jantung umpama terhenti seketika.. semasa mendukung anak orang lain, saya terus terfikir mengenai nasib anak saya sendiri yang ada dalam dakapan ibu lain.

�Saya melahirkan bayi lelaki pada 2.36 pagi 11 Jun lalu dan diletakkan di bawah jagaan hospital.

�Pada 8.30 pagi, saya minta nak lihat bayi dan jururawat bawa masuk ke bilik sebelum menyedari wajah bayinya lain tapi tidak mengesyaki apa-apa kerana katil bayi tertera nama saya.

�Selepas dibenarkan pulang petang semalam, kami hanya menyedari bayi itu bukan anak kami ketika suami mahu memotong tanda nama pada bayi itu dan mendapati tertera nama wanita lain,� kata usahawan online itu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya apabila mendukung  bayi itu, naluri keibuannya dapat merasakan perangai, wajah, mata dan hidung bayi itu berlainan tetapi tidak sampai hati meluahkannya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Siti Jamumall bersama suaminya Mohammad Syafiq Irfan Azman, 23, tinggal di Setia Alam memaklumkan mereka segera menghubungi dan memaklumkan hospital mengenai insiden itu sebelum hospital mengesahkan bayinya tertukar.

Menurut Siti Suriani, matanya menjadi gelap selepas mendengar pengesahan hospital  dan merasakan denyutan jantungnya seakan-akan terhenti.

�Ketika dalam perjalanan ke hospital bersama suami dan bayi berkenaan, banyak benda yang terlintas dalam kepala.. bayi yang saya pegang tak berdosa dan dia pun mesti cari emak dia dan begitu juga emak dia di sana.

�Namun saya dimaklumkan anak saya berada di tangan pasangan yang baik dan penyayang barulah saya rasa lega sedikit dan umpama mati hidup semula.

�Pasangan itu sudah memotong tag bayi saya dan buang dalam bakul sampah di rumah mereka dan setelah menerima berita bayi tertukar, mereka segera menyelongkar bakul sampah sebelum berjaya menemui tag bayi dan didapati tertera nama saya iaitu Siti Suriani.

�Saya dan ibu yang memegang anak saya bertukar semula anak kami di hospital sama dengan suasana penuh emosi sebab sudah ada rasa sayang kepada bayi masing-masing,� ujarnya.

Siti Suriani menjelaskan, bayi yang dijaganya sementara itu dilahirkan 10 Jun sekitar pukul 3.02 petang sebelum dibawa pulang 12 tengahari semalam.

BACA: Kes bayi tertukar: Suami mangsa potong tag pada bayi sebab bukan nama isterinya

Menurutnya, anaknya kini ada masuk wad semula kerana demam kuning (gambar kecil).

Tambah beliau, setakat ini empat tiub darah telah diambil daripada anaknya untuk pemeriksaan lanjut.

WhatsApp-Image-2021-06-13-at-5

�Saya bersyukur sangat kepada Illahi dan pasangan berkenaan  menyedari ia bukan anak mereka setelah disahkan hospital berkenaan dan kedua-dua bayi berada dalam keadaan selamat dan baik,� jelasnya.

Sementara itu, beliau mengakui dalam proses perbincangan dengan peguam untuk mengambil tindakan lanjut ke atas hospital berkenaan berikutan insiden yang didakwa melibatkan kecuaian itu.

�Saya belum membuat keputusan muktamad dalam hal ini sebenarnya, saya masih sedang berbincang dengan peguam mengenai sebarang tindakan lanjut yang boleh diambil dalam perkara ini.

�Sebelum itu, saya hendak menyelesaikan terlebih dahulu urusan pemeriksaan kesihatan anak yang terkena penyakit kuning dan sedang diletakkan dalam perhatian ketika ini.

�Saya kena pergi dan stay di wad atas nasihat doktor hari ini dan sedang mengemas barang untuk masuk ke hospital semula. Saya minta semua pihak supaya mendoakan anak saya sembuh dari demam kuning dan kami pulang ke rumah segera,� tegasnya.

Satu lagi pasangan yang terkesan dengan insiden bayi tertukar adalah difahamkan seorang usahawan wanita bernama Diana Hanani Abdullah yang melahirkan bayi itu secara pembedahan di hospital sama.

Semalam, dalam Live Facebook peribadinya Siti Suraini berkongsi mengenai insiden pertukaran bayi itu kepada umum sekitar 8 malam tadi.

Ia sekaligus mendapat perhatian lebih daripada 53,0000 tontonan netizen yang turut terkejut dan bersimpati dengan insiden itu.

Siti kemudiannya memaklumkan bercadang menamakan anaknya, Aysar Aryan.

Sementara itu, dalam hantaran Facebook Jamumall.com, Siti Suriani memuat naik gambar bersama pasangan yang tertukar bayi.

�Allah terima kasih satukan kami , automatik kami sudah jadi family. Siti tak sangka Allah macam aturkan nama baby pun Aisar dan Aiman,� tulisnya.- MalaysiaGazette

0 comments:

Post a Comment