Warga emas positif COVID-19 yang lari, ditemui

 Oleh Hazsyah Abdul Rahman -

KINABANTANGAN: Warga emas yang melarikan diri dari rumahnya di Kampung Kuala Tongod, semalam, selepas didapati positif COVID-19 ditemui, hari ini.

Lelaki berusia 69 tahun itu dilaporkan ditemui penduduk kampung kira-kira jam 6.30 petang, sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata lelaki terbabit ditemui bersembunyi di sebuah kebun di kampung terbabit.

Menurutnya, lelaki itu sudah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Tongod untuk tindakan lanjut.

"Lelaki itu sudah ditemui pada petang tadi dan kira-kira jam 6.50 petang kami sudah menyerahkan warga emas berkenaan kepada pihak KKM," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Dzulbaharin berkata warga emas itu melarikan diri ketika hendak dibawa ke Hospital Sandakan untuk rawatan selepas didapati positif COVID-19.

"Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, sepasukan petugas KKM Tongod pergi ke kampung berkenaan untuk membuat makluman dan persediaan kepada individu-individu yang disahkan positif COVID-19 untuk dibawa ke Hospital Sandakan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Petugas kemudiannya membuat tinjauan ke rumah lelaki berkenaan dan mendapati warga emas itu sedang mengemaskan barang-barang di luar rumahnya.

"Petugas beranggapan lelaki itu sedang bersiap untuk dibawa ke hospital," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, sebaik petugas kembali semula ke rumah lelaki itu suspek dipercayai melarikan diri.

0 comments:

Post a Comment