Pelancongan domestik dijangka buka semula Oktober
Oleh Suzalina Halid
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berusaha untuk memastikan semua pihak yang terbabit dalam sektor pelancongan supaya diberikan diberikan vaksinasi secepat mungkin sebagai persediaan apabila industri itu dibuka semula kepada pelancong.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya menjangkakan industri pelancongan domestik dibuka semula pada Oktober ini, bergantung kepada perkembangan kes COVID-19.
Sehubungan itu, katanya buat permulaan pihaknya mempunyai strategi untuk memastikan imuniti kelompok dicapai di lokasi pelancongan terkenal tempatan dengan dua tempat diberi tumpuan awal iaitu Langkawi dan Kuching.
"Kita mulakan dua tempat ini dulu (Langkawi dan Kuching) di mana kami merancang untuk memvaksinasi (pihak dalam sektor pelancongan) terutama di Langkawi di mana tempat (pilihan) melancong, ...namun keadaan sekarang amat sedih.
"Di Langkawi, populasinya adalah 76,400 dan kita nak 30,530 daripadanya divaksin supaya adanya imuniti kelompok, sekali gus orang yakin untuk pergi ke sana dan mereka juga ada keyakinan untuk menyambut pelancong.
"Begitu juga kita ada perancangan untuk Kuching bagi tujuan vaksinasi (bagi tujuan pelancongan) di mana MOTAC dalam usaha mengangkat bandar raya itu sebagai salah satu jaringan bandar raya kreatif di peringkat ASEAN dan UNESCO di bawah kategori gastronomi," katanya melalui Program Bicara Naratif, 'Agenda Memperkasa Sektor Pelancongan dan Kebudayaan Dalam Mendepani Pandemik' yang disiarkan melalui TV1, malam ini.
Pada masa sama, Nancy berkata, MOTAC turut merancang untuk pergi ke pulau peranginan lain membabitkan program imunisasi itu supaya lebih banyak pihak yang terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasikan secara besar-besaran.
Pembukaan semula pelancongan domestik disifatkan penting untuk mengimbangi semula kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan dalam bidang terbabit.
"Atas sebab itu, program vaksinasi ini penting kepada barisan hadapan dalam bidang pelancongan seperti pekerja hotel, sektor penerbangan dan sub pelancongan seperti pekerja spa dan mereka terbabit dalam seni muzik," katanya.
Beliau berkata, MOTAC juga sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan pihak industri dalam membantu mereka yang terjejas termasuk memberi latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula buat merekanyang terjejas dalam industri pelancongan sepertu pemandu pelancong.
0 comments:
Post a Comment