Kerajaan luluskan 2 lagi jenis vaksin untuk kegunaan semasa bencana, Pfizer untuk kanak-kanak

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Mesyuarat bersama NPRA hari ini memberikan kelulusan pendaftaran vaksin CanSino dan Johnson & Johnson.

Kerajaan hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana dua jenis vaksin Covid-19 satu dos dari China, CanSino dan Johnson & Johnson selain memberikan lampu hijau kepada vaksin Pfizer untuk kegunaan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas.

Dalam sebuah kenyataan hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PKBD) Kali Ke-359.

Beliau turut berkata suntikan Pfizer sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

�Walaupun tambahan indikasi ini diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),� kata Noor Hisham.

Vaksin Cansino atau Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine merupakan keluaran syarikat CanSino Biologics Inc dari China, sementara vaksin Janssen Covid-19 merupakan vaksin keluaran syarikat Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat

Kedua-dua vaksin itu hanya memerlukan satu suntikan pelalian.

�KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

�Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,� tambahnya.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin pada Mac lalu berkata kerajaan mungkin menggugurkan suntikan Johnson & Johnson daripada portfolio program vaksinnya memetik kebimbangan mengenai penghantaran yang perlahan daripada pihak pembekal.

�Kemungkinan pemerolehan vaksin Johnson & Johnson akan digugurkan kerana mereka hanya boleh hantar (bekalan) menjelang akhir tahun ini. Itu sudah terlalu lambat bagi kita,� katanya dalam sidang media 8 Mac lalu.

Selain itu, Khairy berkata, kerajaan akan meneruskan rundingan dengan Cansino Biologics Inc untuk mendapatkan vaksin keluaran syarikat itu yang hanya memerlukan satu dos.

Pada 2 Mac lalu, PBKD meluluskan pendaftaran bersyarat tiga vaksin Covid-19 bagi kegunaan ketika bencana termasuk AstraZeneca; Sinovac; dan Comirnaty keluaran Pfizer-BionTech

0 comments:

Post a Comment