Komen Dato Siti Tentang Teguran ABPBH 2012 di Twitter April 10th, 2013
KUALA LUMPUR : Bercakap mengenai Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012 yang baru berlangsung pada hujung minggu lalu, pasti ramai penonton yang rindukan kelibat penyanyi pujaan Malaya, Dato’ Siti Nurhaliza di pentas berprestij berkenaan.
Namun begitu, penyanyi tersebut tidak menyertai ABPBH yang telahpun memasuki siri ke 26 pada tahun ini.
Meskipun tidak hadir, Dato’ Siti Nurhaliza dilihat memantau acara berkenaan secara langsung di TV3 itu dari rumah melalui status Twitternya.
Antara yang menjadi tumpuan adalah komen Dato’ Siti Nurhaliza mengenai persembahan pembukaan yang turut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Ada juga dikalangan peminat yang tampil menghentam pemegang 7 kali gelaran Bintang Paling Popular itu di Twitter.
Kesempatan bertemu Dato’ Siti Nurhaliza sendiri semalam, memberi peluang kepada Murai.com.my untuk bertanya berkenaan tindakannya itu yang telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
“Pertama sekali, saya mahu mereka tahu tujuan saya letakkan status bukanlah hendak mengutuk majlis tersebut.
“Sekian lama terlibat dalam industri hiburan, bukannya selalu saya dapat menonton malam kemuncak ABPBH di rumah kerana bertahun-tahun saya terlibat dan hadir ke acara itu.
“Suasana menonton di rumah lain kerana di rumah hanya ada satu ruang untuk ditonton serta dengar.
“Apa yang nampak di kaca televisyen, hanya itu sahaja yang sampai pada penonton.
“Jika ada kesalahan, sudah pastinya akan jelas terlihat di kaca televisyen kerana di tempat berlaku agak bising jadi kita kurang jelas di mana ada terdapat kesilapannya.
“Sedikit sebanyak kritikan itu pasti akan diambil penganjur untuk memperbaikinya untuk tahun hadapan.
“Itulah tujuan sebenarnya, diharap yang membaca melihatnya daripada sudut positif,”jelas Dato’ Siti Nurhaliza.
Penyanyi nombor satu negara itu turut menjelaskan bahawa kritikannya itu juga merujuk kepada perkara-perkara yang jelas.
Katanya, dia tidak menggunakan Twitter untuk memburukkan imej malam kemuncak ABPBH 2012 .
“Seperti yang saya cakap berkenaan CD rosak, itu merupakan antara perkara yang paling ditakuti semua artis yang membuat persembahan secara langsung.
“Jadi seperti mana saya cakap tadi, bila di rumah ia kedengaran seperti itu.
“Saya anggap teguran itu dilihat sepertimana penonton lain di rumah yang meluahkan pendapat masing-masing bukannya kerana saya tidak terlibat tetapi dikatakan mengutuk anugerah tersebut.
“Kadang-kadang perkara seperti ini penganjur terlepas pandang dan jika ada penonton yang menonton tampil memberi pandangan sedikit sebanyak mempertingkatkan lagi mutu siaran terutamanya siaran langsung,”jelas Dato’ Siti Nurhaliza yang memberikan pandangan di atas kapasitinya sebagai orang yang sudah lama berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.
0 comments:
Post a Comment