Bayi mati selepas 'dipulau' 10 hospital
JAKARTA, Indonesia - Seorang bayi berusia seminggu meninggal dunia akibat masalah pernafasan selepas 10 buah hospital di sini enggan merawatnya, kata bapa bayi tersebut semalam.
Elias Setya Nugroho yang bekerja sebagai penjaja berkata, dia tidak mampu membayar caj yang dikenakan oleh sebahagian hospital berkenaan untuk merawat bayinya.
Bayi tersebut, Dera Nur Anggraini dilahirkan tidak cukup bulan bersama saudara kembarnya, Dara pada 10 Februari lalu.
Dera turut mengalami kecacatan tekak yang menghalang pernafasannya.
Menurut lelaki tersebut, keluarganya cuba mendapatkan rawatan tetapi ditolak oleh pihak pengurusan 10 buah hospital.
Sebahagian mereka memberikan alasan tidak memiliki peralatan yang diperlukan manakala sebahagian lagi mendakwa hospital mereka penuh.
"Dera dikebumikan kelmarin tidak jauh dari rumah kami," kata Elias.
Menurutnya, bayi itu meninggal dunia selepas dibawa kembali ke Hospital Zahira tempat dia dilahirkan di sini.
Menurut Elias, hospital-hospital swasta di sini meminta bayaran pendahuluan berjumlah 15 juta rupiah (RM4,795) walaupun keluarganya memiliki kad kesihatan yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah sepertinya mendapat perkhidmatan kesihatan percuma.
0 comments:
Post a Comment